Belajarlah bersungguh-sungguh!!

Kelak kamu akan berjaya!!

InsyaAllah dengan izin dan rahmat dari Allah.

Jika kita berusaha bersungguh-sungguh Allah akan bagi, mengikut apa yang kita usahakan.

Dan jika kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita.

Dan kita kena yakin Allah sentiasa dekat dan Allah sentiasa ada bersama dengan kita.

Siapakah kita pada hari ini menentukan siapa diri kita pada masa akan datang

Janganlah kita menjadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak memahami apa-apa yang diperkatakannya.

Berubahlah dan lakukanlah sesuatu untuk melejitkan potensi dalam diri kita.

Kerana manusia itu Hebat jika berbanding haiwan kerana manusia dikurniakan akal fikiran oleh Allah untuk menjadi seorang yang kreatif, responsif, aktif dan bergerak seiring dengan apa yang disuruh oleh Allah.

Apa yang Allah nak kita lakukan, Apa tujuan kita dijadikan? dan Apakah matlamat kita dihidupkan? Apakah kehidupan kita selepas ini? Semuanya terletak atas pilihan kita.

Allah telah memberi kan kita panduan dalam Al-quran, Maka kita kena memilih bagaimanakah corak Jalan Kehidupan yang mendapat Redho dan Keberkatan daripada Allah.

Berfikir, dan renunglah sejenak.

Firman Allah:

Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk berubudiyah (beribadah)kepadaku

(Al-quran-Surah Az-Dzariyat, ayat 56)

semoga Allah bantu kita dan memberikan kita pertolongan setiap masa. Moga Allah Berkati dan Rahmati kita semua.

salam ukhwah fillah :)
Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.

“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.

“Habis mengapa putus?”

“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”

“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”

“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”

“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”

“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”

“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”

“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”

“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.

“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.

“Maksud abang?”

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”

“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”

Wasilah Memilih Jodoh

“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.

“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”

“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”

“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”

‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.

“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”

“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”

“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”

“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”

Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”

“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.

“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”

“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”

“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”

“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”

P/S

Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.

Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.

Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.

Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.

Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku - ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.

Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!


::from::link




sumber:: youtube :: Did You Know? 3.0 (Official Video) -2009 Edition
~!biar gambar yang menceritakan segala yang diriku inginkan

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur misalnya). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Memo:Dipetik daripada kiriman di Facebook
sumber:link

[Petikan daripada buku "Mendidik Anak Pintar Cerdas" tulisan Dr Hasan Hj Mohd Ali, terbitan Utusan Publications & Distributors]

Ibu bapa profesional sentiasa merangsang minat membaca. Sewaktu tiga tahun pertama usia anak, otak berkembang dengan pesat dan mampu menyerap dengan mudah apa sahaja rangsangan yang diterima.

Peluang ini harus digunakan dengan bijak oleh ibu bapa untuk merangsang otak anak dan mengajar mereka sebanyak mungkin kemahiran terutamanya kemahiran membaca.

Kebolehan membaca merupakan rangsangan yang amat bererti untuk meningkatkan tahap kecerdasan kanak-kanak.

Namun dalam ghairah merangsang intelektual anak-anak, ibu bapa harus peka kepada keinginan dan minat anak pada waktu itu.

Paksaan dan rangsangan yang terlalu banyak mungkin akan membosankan dan membebankan anak.

* * * * * *

Perkara pokok yang perlu dititikberatkan adalah menanamkan minat. Menanam minat membaca boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan seharusnya dibuat dengan penuh kesabaran tanpa paksaan.

Antara cara menanam minat membaca ialah:

  1. Sewaktu hamil, eloklah ibu membaca al-Qur’an atau berzikir dan diperdengarkan kepada janin.
  2. Melapangkan sedikit masa untuk mengajar anak. Masa tersebut perlu diisi dengan aktiviti yang berkualiti. Contoh aktiviti: Tuliskan satu perkataan ringkas dengan besar dan berwarna. Bacakan dan eja dengan jelas dan penuh kasih sayang. Atau gunakan kad bergambar (flash card) dan diikuti dengan tulisan. Tunjukkan kepada anak gambar, kemudian eja perkataan atau maklumat berkenaan gambar tersebut.
  3. Semasa di dalam kenderaan, bacakan atau baca bersama-sama anak-anak nama-nama jalan, nombor plet kereta di hadapan, papan tanda iklan dan sebagainya.
  4. Tunjukkan contoh teladan iaitu ibu bapa seharusnya menunjukkan minat membaca dengan cara selalu membaca di hadapan anak.
  5. Semasa ibu atau ayah membaca, letakkan anak yang masih bayi di pangkuan dan bacalah dengan suara yang agak kuat.
  6. Sentiasa membawa anak ke medan ilmu seperti ke pesta buku, pameran buku, ke kedai buku, ke perpustakaan dan seumpamanya.
  7. Jika bercadang memberikan hadiah, belilah hadiah buku seperti buku cerita, ensaiklopedia, kamus, buku bergambar dan sebagainya.
  8. Membiarkan anak bermain dan ‘bergaul’ dengan buku. Jangan membeli buku tetapi disimpan di dalam almari sahaja.
  9. Menyediakan peruntukan kewangan atau tabung untuk membeli dan menyediakan bahan-bahan bacaan, termasuk langganan majalah kanak-kanak dan menyediakan perpustakaan di rumah.
  10. Jangan memarahi anak kecil yang bermain dengan buku-buku anda. Sebaliknya buku-buku perlu diletakkan pada tempat yang mudah diambil oleh anak.
  11. Membacakan buku cerita dan kisah-kisah nasihat kepada anak. Contohnya sewaktu minum petang atau sebelum tidur. Aktiviti ini boleh dimulakan seawalnya apabila anak telah berusia 6 bulan.
  12. Menyediakan tempat khas supaya anak boleh mengambil dan menyimpan sendiri buku. Boleh juga disediakan beg atau bakul khas supaya anak boleh membawa buku ke mana sahaja terutamanya semasa perjalanan jauh.
  13. Membiasakan membeli buku jika anak meragam sebagai menggantikan mainan untuk mententeramkannya.
  14. Sentiasa memberi pujian dan penghargaan kepada usaha-usaha dan pencapaian anak untuk membaca.
sumber:link

"Pengaruh adalah gagasan yang didorong dengan kekuatan pemikiran yang mendominasi seluruh jiwa raganya." Huzaidi Hadis

Ramai orang percaya jawatan dan kedudukan sebagai prioriti nombor satu bagi membina pengaruh. Tanpa jawatan, tidak ada pengaruh. Itu definisi mudah yang dipropagandakan. Bermula sebagai andaian, ia menjadi kebenaran yang tidak dibuktikan.

Lima tahun sebelum buku ini ditulis, ada seorang yang berkedudukan dalam kerajaan bersara dari jawatan tinggi. Isteri kepada orang berpangkat ini bercerita, “Dahulu ketika suami masih dalam kedudukan, rumah kami penuh hamper pemberian hadiah daripada rakan-rakan sejawat. Selepas bersara, kami tidak terima hamper sebanyak dahulu. Dalam sekelip mata sahaja. Masing-masing senyap sahaja.” Kita mungkin ketawa pada keluhan wanita ini. Apalah yang ada pada hamper yang tidak semahal mana dan dapat dibeli di pasaraya.

Tetapi wanita ini melihat hamper yang diterimanya sebagai kayu ukur kuasa dan pengaruh yang masih bersifat magnetik dalam hidup mereka.

Dia percaya kurangnya hadiah hamper dari rakan-rakan sejawat dalam kedudukan yang setara, bermakna sudah kurang pengaruh dan hormat orang pada suaminya.

Kami mendengar cerita ini dan berfikir betapa mudah kuasa pengaruh dan pesona individu pegawai tinggi ini berkurangan sama seperti kurangnya hamper yang diterima sebelum ini.

-----

Meskipun beliau seorang yang berpendidikan tinggi, menjawat jawatan yang berpengaruh, melatih beribu orang menjadi pegawai, sebenarnya beliau tidak menjadi inspirasi kepada yang lain.

Ini dapat dilihat melalui perbualan ahli keluarga mengenai usaha mencapai cita-cita hidup dan menjadi individu yang berketrampilan. Tidak ada ahli keluarga dan saudara mara menyebut nama beliau sebagai contoh inspirasi.

Kami percaya beliau seorang yang baik. Tetapi beliau tidak berpeluang mempelajari seni membina pengaruh yang jauh lebih kekal berbanding kekalnya seseorang duduk dalam jawatan tinggi.

Cerita beliau membuat kami terfikir apa yang menyebabkan kita mudah diinspirasi, terdorong dan bercita-cita menjadikan seseorang itu sebagai model menjadi individu yang lebih baik.

Apakah kuasa pengaruh yang digunakan sehingga berjaya memberi inspirasi ketika hidup mahupun ketika tiada lagi. Kuasa pengaruh yang dimiliki memberi kesan baik kepada keluarga dan rakan-rakan meskipun individu itu sudah tidak ada lagi.

Cerita bekas pegawai tinggi ini jauh berbeza berbanding cerita seorang lelaki yang miskin, tidak berpendidikan tinggi malah cacat kakinya.

Hidup dan mati beliau memberi pengaruh besar kepada orang lain kerana satu sumbangan kecil yang diberikan. Kisah ini dan resipi pengaruh yang digunakan kami dedahkan dalam satu bab khusus buku ini.

Buku ini ditulis bagi mendedahkan amalan yang dilakukan oleh pelbagai individu biasa-biasa dan tokoh dunia yang berjaya mencipta pengaruh tersendiri dan memanjangkan hayat pengaruhnya.

Kita tidak dapat lari daripada melihat sejarah individu-individu ini bagi mempelajari resipi kejayaan membina pengaruh yang positif.

Pentingnya sejarah mereka dan belajar daripada hidup mereka disebut oleh Malcom X seperti berikut, “Dengan menjadikan sejarah lalu sebagai kelengkapan diri, kita dapat merancang masa depan kita. Jika kita tahu mana kita sebelum ini kita dapat dapat tahu di mana kita sekarang dan di mana kita akan pergi selepas ini.”

30 Strategi Menjadi Individu Berpengaruh ditulis untuk semua. Membuang segala mitos bahawa pengaruh adalah warisan dan bersifat ajaib hanya untuk sesetengah individu.

Pengaruh alat membongkar potensi diri dan orang lain

Pengaruh menjadi tool atau alat yang mendorong diri dan orang lain membuat keputusan, memenuhi tanggungjawab dan mengubah seseorang dari satu kedudukan ke satu kedudukan lain.

Kita memerlukan satu model yang bagi membina dan mengurus pengaruh. Pada peringkat umur dan peranan sosial yang pelbagai, pengaruh adalah satu elemen yang perlu ada bagi memenuhi keperluan tertentu.

* Seorang bapa menggunakan pengaruh ke atas anak-anak apabila mendidik mereka bagaimana membuat keputusan dalam hidup.
* Seorang suami menggunakan pengaruh bagi mencipta keyakinan dalam hati isteri untuk sama-sama memperjuangkan apa yang dia percaya.
* Seorang ketua organisasi menggunakan pengaruh bagi memastikan semua orang di bawahnya bekerjasama mencapai matlamat.
* Seorang imam ketika solat mempunyai pengaruhnya sendiri sehinggakan orang lain percaya, suka dan bersedia dipimpin oleh beliau ketika sembahyang berjemaah.


Membina pengaruh.Pengaruh menjadi ibadah dan insuran sosial jika kita tahu apa dan bagaimana ia perlu dilakukan. Pengaruh menjadi beban dan tekanan jika ia digunakan bagi kepentingan yang jelas melanggar moral yang sepatutnya diimbangi sebaik mungkin.

Trilogi membongkar rahsia pengaruh

Buku ini adalah trilogi kepada dua buah buku siri streetsmart terdahulu. Ia bermula dengan Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart. Ketika menulis buku ini, kami mendapati kuasa pengaruh adalah kuasa dalam diam.

Tanpa sedar kita memiliki kuasa pengaruh pada peringkat yang berbeza. Ia digunakan dalam interaksi sosial dan mengembangkan potensi diri individu. Ia menjadi elemen dalam diri pemimpin sebagaimana disebutkan oleh John Maxwell.

Selepas itu kami menulis sebuah buku berjudul Mengurus Konflik Gaya Streetsmart. Dalam buku ini kami mendapati individu yang dapat mengurus konflik sebenarnya berupaya memanjangkan tempoh survival dan menjadikan konflik sebagai ruang dan peluang berbanding menjadikan konflik sebagai perang.

30 Strategi Menjadi Individu Berpengaruh ditulis dalam bahasa Melayu yang mudah untuk pelbagai peringkat umur. Buku ini ditulis dengan satu tujuan sebagaimana disebut oleh Azree Hanifiah, salah seorang petugas World Assembly of Muslim Youth, iaitu kami mahu mendedahkan rahsia, "Kuasa pengaruh yang menyentuh emosi, membangkitkan semangat spiritual dan memberi kesedaran.”


ZAMRI MOHAMAD
HAEQAL ZULQARNAIN

sumber: link